Adakah Agama Islam Memusuhi Harta

Banyak kesilapan orang Islam dalam menerima konsep kekayaan dalam kehidupan mereka. Sehingga ada adik beradik yang bergaduh kerana berebutkan harta pusaka, anak yang sanggup mencederakan ibu kerana duit dan banyak lagi. Masing-masing menyatakan pendapat sendiri tentang harta dan wang ringgit ini. Persoalannya adakah harta sesuatu yang kotor dalam agama atau adakah agama kita iaitu Islam memusuhi harta.


Terdapat nabi-nabi yang kaya antaranya adalah nabi Ibrahim, nabi Ayub dan nabi Sulaiman bahkan nabi Sulaiman merupakan seorang raja bagi kerajaan yang agung. Juga ada sahabat Rasulullah yang kaya antaranya adalah Uthman Affan, Talhah Ubaidillah, Zubair al Awwam, Abdul Rahman Auf dan Saad Abi Waqqash. Juga imam dari mazhab empat iaitu Imam Malik bin Anas juga seorang kaya. Nampaknya kekayaan bukanlah sesuatu yang asing bagi Islam dan penganutnya.

Tiga kepentingan kekayaan kepada umat Islam :
1.       Keperluan

Dengan memiliki harta umat Islam dapat memenuhi keperluan mereka seperti makan minum, pakaian dan rumah kediaman. Cuba perhatikan orang yang mengemis untuk mendapatkan sesuap nasi dan bagaimana pula yang mencuri kerananya?

2.       Ibadat

      Terdapat ibadat dalam Islam yang berkait lansung dengan harta atau wang seperti zakat, korban dan sedekah. Zakat melalui baitulmal sangat membantu orang-orang Islam yang fakir. Jauh lebih mendalam zakat sebenarnya penyelesai kepada jenayah harta yang berlaku.

3.       Jihad/Perjuangan

Harta sangat penting dalam perjuangan agama. Seorang yang keluar berdakwah perlu menyediakan wang kepada keluarganya sepanjang dia berdakwah. Bagaimana dengan masjid, sekolah agama dan tahfiz serta keperluan kita untuk menuntut ilmu?
Terdapat dua golongan yang salah dalam mengambil harta dalam kehidupan. Pertama mereka yang menganggap harta adalah segala-galanya. Sehinggakan sepanjang hari dihabiskan masa mencari wang dan seolah-olah wang menjadi ‘Illah’ dalam hati mereka. Kedua mereka yang menolak terus harta yang dikatakan dunia. Mereka rela menganggur dan tidak berusaha untuk mendapatkan pendapatan. Lebih malang lagi tanggunjawab terhadap diri dan keluarga juga terabai.

Kita bersetuju dengan Dr Yusuf al Qardawi yang menulis dalam buku beliau iaitu Fiqh Keutamaan (Fiqh Aulawiyyat). Beliau menegaskan bahawa umat Islam perlu menjadi kaya terutama pada masa sekarang negara-negara Islam ditindas kerana kita tidak kuat dari segi ekonomi. Negara yang kuat ekonomi boleh menekan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat.

Jadi, sebagai kesimpulan dalam penulisan ini antara dua golongan yang menerima sepenuhnya dan menolak terus harta kekayaan maka yang terbaik adalah diantaranya. Islam mementingkan kesederhanaan. Perkara ini sesuatu yang susah namun usaha berterusan pasti akan diiringi dengan pertolongan Allah.

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Perjalanan Panjang Anggota Rejimen Ke 10 PKM

Sejarah Ringkas Kekuasaan Bani Israel Ke Atas Palestin

Perang Hittin dan Pembebasan Baitulmaqdis oleh Salahuddin al Ayyubi.