Jangan Berhenti Berdoa

Doa adalah permohonan seorang hamba kepada Allah bagi meminta pertolongan, kasih sayang dan keampunan-Nya. Doa juga sebenarnya hubungan seorang muslim dengan Allah dimana semakin kerap kita berdoa maka sebenarnya kita semakin dekat dengan Allah. Seorang yang tinggi nilai dan kualiti ketakwaan pasti suka bermunajat dan berdoa kepada Allah setiap masa terutama di waktu qiyamullail. Sangat ajaib hidup orang bertakwa kerana doa sentiasa disisi mereka sehingga kehidupan mereka penuh berkat dan bahagia, ketenangan dalam hati ibarat mendapat syurga di dunia ini.

Namun, masih ramai yang berputus asa untuk berdoa dengan menyangka doa mereka tidak dimakbulkan. Sebenarnya kita telah tertipu dengan sikap negatif sendiri. Allah SWT menerima permohonan doa daripada syaitan sedangkan kita tahu syaitan adalah makhluk terkutuk. Jika dibanding dengan kita, syaitan lebih dibenci oleh Allah sedangkan Allah malu seandainya hamba-Nya menadah tangan berdoa tetapi Dia tidak menerimanya.

Syaitan telah memohon kepada Allah, "ya Tuhanku, (kalau begitu) beri tangguhlah kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan".(al-Hijr:36). Lalu Allah telah memperkenankan permintaan syaitan seperti firmanNya : Sesungguhnya kamu termasuk golongan yang ditangguhkan (ajalnya). Sampai waktu yang telah dimaklumi (hari kiamat). (al-Hijr:37-38).

Imam Bukhari yang lahir pada tahun 810 M telah dilahirkan dalam keadaan buta. Ibu beliau tidak putus-putus berdoa kepada Allah dan dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya, Allah memberikan penglihatan kepada imam Bukhari bahkan beliau menjadi antara ulama hadis yang terkemuka. Terdapat sahabat Rasulullah yang berlayar untuk menyebarkan agama Islam merentasi laut Mediteraneum. Di tengah lautan kapal yang mereka naiki pecah akibat lautan berombak tinggi menyebabkan mereka akhirnya hanyut dan terdampar di pantai sebuah pulau. Setelah beberapa hari mereka kelaparan lalu dengan keyakinan yang tinggi kepada Allah mereka solat dua rakaat dan berdoa. Allah telah memakbulkan doa mereka dan mendatangkan ikan yang besar terdampar di tepi pantai pulau tersebut.

Kita sampaikan disini untuk pembaca budiman bagaimana supaya doa diterima oleh Allah. Antaranya adalah apabila berdoa kita kena bersabar. Kita sebenarnya tidak boleh tergesa-gesa dengan cara mahu Allah makbulkan doa dengan segera. Tugas kita adalah berdoa yang memakbulkan adalah Allah. Yang kedua adalah kita perlu sentiasa berdoa. Allah akan menerima doa kita ketika kita susah apabila kita selalu berdoa ketika kita senang.

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Perjalanan Panjang Anggota Rejimen Ke 10 PKM

Sejarah Ringkas Kekuasaan Bani Israel Ke Atas Palestin

Perang Hittin dan Pembebasan Baitulmaqdis oleh Salahuddin al Ayyubi.