Dua Cara Melembutkan Hati Yang Keras
Hati disebut dalam bahasa Arab sebagai 'qalbu' yang merujuk kepada maksud yang luas. Qalbu beerti hati yang kita dapat lihat sebagai anggota dalaman manusia dan qalbu juga merupakan jiwa tempat letaknya perasaan. Hati sentiasa berubah dan boleh menjadi keras ataupun dalam kata lain memberi kesan buruk kepada kehidupan kita seperti susah melakukan kebaikan dan tidak boleh menerima nasihat.
Hati yang telah keras ini perlu dirawat seterusnya dijaga dengan baik. Banyak cara yang telah diajar oleh agama untuk menjaga dan merawat hati. Kita sebutkan disini dua cara sahaja iaitu yang pertama dengan menyebut serta mengingat Allah. Mengingat Allah antaranya boleh melalui zikir seperti menyebut lafaz istighfar, selawat, tahlil, tahmid dan tasbih. Kita menyebut nama Allah untuk mengingati Dia. Perkara ini akan menjadikan hati kita tenang dan hati yang kotor, sakit atau keras akan menjadi baik.
Selain itu, mengingat Allah boleh dilakukan dengan membaca al-Quran. Al-Quran merupakan ayat-ayat Allah, kitab yang mengandungi kebesaran Dia, ancaman bagi orang berdosa atau tidak mahu beriman kepada Dia dan juga menyatakan balasan kebaikan kepada orang-orang yang bertakwa. Apabila kita selalu membaca al-Quran hati kita akan sentiasa ingat kepada Allah dan membentuk keimanan yang kukuh.
Disamping itu, mengingati Allah juga boleh dilakukan dengan belajar dan mengajar ilmu. Sebagai contoh, seorang yang mengajar kepada kanak-kanak tentang Allah, malaikat, para rasul dan hari akhirat sedang mengingat Allah. Seorang murid yang belajar tentang kekuasaan Allah misalnya tentang kejadian langit dan bagaimana cakerawala berfungsi. Hatinya merasa kagum dengan kekuasaan Allah yang telah menciptakan semua itu. Begitu juga seorang yang membaca hadis-hadis Nabi Muhammad, pasti akan membawa dia mengingati Allah.
Cara yang kedua untuk melembutkan hati yang keras adalah dengan bersedekah. Bolehlah juga kita fahami bahawa zikir adalah perbuatan lisan dan sedekah adalah perbuatan amali untuk melembutkan hati. Hati manusia menjadi keras kepada mengingat Allah termasuk hari akhirat kerana terlekat dengan harta kebendaan. Manusia akan melihat kepada benda ataupun dalam maksud lain apa yang boleh dilihat, yang dekat. Soal pahala dan akhirat benda yang tidak nampak dan jauh. Singa yang berada jauh dalam sangkar zoo tidak digeruni berbanding sekiranya singa itu berada di hadapan kita.
Jadi, cara untuk membuatkan hati kita tidak mengutamakan harta dan wang ringgit adalah dengan bersedekah. Mencari rezeki atau mencari duit merupakan satu kewajipan namun apa yang kita maksudkan adalah duit dan harta kebendaan menjadi keutamaan. Seorang yang sentiasa memikirkan duit walaupun dia tidak kaya bahkan ada yang tidak bekerja pun sebenarnya dia mengutamakan harta kebendaan lalu untuk menutup kelemahannya dia mengatakan harta perlu dijauhi dan sesuatu yang perlu dimusuhi. Padahal dia malas!
Sedekah dapat menghilangkan rasa kedekut dan terlalu sayang dengan harta. Menghilangkan kuasa penjajahan harta iaitu ingin dilihat sebagai orang kaya dan berjaya di mata orang sekeliling. Menjadi orang kaya tidak menjadi masalah yang salah ialah orang yang ingin dilihat lebih sebab dia kaya lalu orang mengatakan dia kaya kerana selalu solat dhuha sebagai contoh lalu dia bangga. Rasa lebih dan ingin dilihat lebih itulah cinta dunia dalam hati kita. Saya pandai dia tidak pandai, cinta dunia dengan kesombongan namun menjadi seorang yang pandai adalah tuntutan agama.
Sedekah merupakan manifestasi kita tentang perjuangan menentang keinginan diri. Diri kita menginginkan agar kita fikir tentang diri, keluarga, anak dan isteri sahaja tetapi sedekah menjadi lambang kita melawan semua itu kerana lebih dari itu kita memikirkan tentang orang yag susah walaupun dia bukan saudara kita. Sedekah adalah lambang kita menolong agama Allah. Sedekah dapat menghapuskan kemarahan Allah kepada kita dan melembutkan hati kita yang keras.
Secara kesimpulannya, hati merupakan anggota yang kompleks merangkumi zahir dan batin serta tempat kejiwaan. Ketenangan pada hati merupakan nikmat dalam kehidupan. Dalam tubuh manusia terdapat seketul daging, sekiranya baik daging itu maka baiklah seluruh anggota badan sekiranya buruk maka buruklah seluruh anggota badan. Daging itu adalah hati.
Comments
Post a Comment